Assalamualaikum sahabat2ku..
Kadang-kadang ataupun mungkin selalu, kita telah menduakan cinta. Satu kisah percintaan telah wujud seusia diri kita, terbina antara darjat yang bersifat infiniti tak terjangkau dek akal manusia. Cinta tulus dan tidak ada akhirnya daripada Zat yg Tidak Berjasad dan mungkin juga kerana itu kita tidak sedar akan kepentingan CintaNya dalam hidup kita, kerana tidak kelihatan jasadNya dan tidak tersentuh akal dan nafsu manusia. Lantas kita lupa pada janji2 manis yang telah termetrai semasa berada di Luh Mahfuz lagi.
Dia tentu saja akan cemburu dengan sesiapa saja yang kita cintai lebih daripada cinta kita padaNya. Dia tidak mungkin menangis kerana kita lupakanNya, Dia tidak mungkin sama sekali bersedih sekiranya kita meninggalkanNya, tetapi Dia tentu akan marah lantas tidak akan bersama dengan kita selagi kita tidak mencariNya semula. Rugi sungguh bila menolak Cinta Agung yang wujud dari Pemilik Segala Cinta.
Cinta dari Dia adalah Terlalu Agung, kerana Dia memberi dan terus memberi tanpa meminta apapun daripada kita. Apa yang mampu kita beri pada Dia? Siapalah kita untuk beri sesuatu padaNya... Sedangkan apa yang sepatutnya kita cari adalah hati yang penuh dengan cinta kepadaNya. Agar hidup lebih tenang dan indah hingga ke Syurga. Bila melihat pada diri kita, hina sungguh jika dibandingkan dengan KeagunganNya. Namun begitu, Dia masih tetap mencintai kita tanpa kita tahu tahap Ketinggian CintaNya.
Tertarik untuk memetik sepotong dua ayat daripada satu penulisan yang hebat oleh Fatimah Syarha Mohd Noordin, Solusi Isu.29. Sebelum itu, izinkan saya memberi gambaran kasar tetang apa yang ditegaskan oleh beliau. Tentang remaja masakini yang tidak memahami bagaimana untuk menyalurkan cinta pada jalan yang diredhai, menduakan cintaNya boleh dikatakan mensyirikkan Dia, iaitu sama hina dengan dosa syirik kepadaNya, kerana keadaan kita yang terlalu mengagungkan cinta selain daripada Dia. Siang malam memuja dan memuji insan yang tidak punya apa itulah yang dikatakan mensyirikkan Cinta Illahi. Di situ kita akan teringat dan terfikir tentang khilaf diri kita yang lupa tentang Cinta Agung dari Dia. Al Quran dan Sunnah yang akan menyelamatkan kita daripada kelemahan manusia, iaitu nafsu yang mendorong melakukan perkara-perkara pemusnah Iman dan Taqwa. Cinta itu fitrah manusiawi, manusia ingin dicintai dan mencintai, ingin dibelai dan dimanja, ingin mengamil berat dan diambil berat. Banyak cara bagaimana untuk menangani masalah cinta, rujuklah 2 sumber yang cukup bermanfaat kepada manusia itu. Dekatilah ilmu-ilmu yang dihurai bersama dalil dan fakta-fakta dari 2 sumber tersebut. Islam adalah agama fitrah, masakan ia menolak fitrah manusia? Maka tidak mungkin Islam tidak mempunyai garis panduan yang jelas tentang fitrah cinta, bagaimana untuk melayari bahtera cinta dengan cara yang paling indah hingga ke syurga.
Mari kita baca ayat yang menarik daripada penulisan Fatimah Syarha. " Semakin besar cintamu kepada Allah, semakin kecil nilai makhluk di hatimu, apatah lagi untuk menjadikanya tandingan kepada Allah untuk diangau-angaukan. Ketika cinta berkuasa, diri menjadi bingung. Gundah gulana. Resah melanda. Banyak urusan tergendala. Apa yang dibuat serba tak kena. Merebak rasa malas. Membarah rasa segan jika orang tahu tindakan yang pernah dilakukan. Maksiat demi maksiat mula meratah iman dan kesedaran. Menyimbah nur dengan kegelapan. Hati menjuih tatkala mendengar kebenaran. Aduhai hati, takutlah pada syirik cinta! Jangan tipiskan sensitivitimu wahai hati kerana aku tidak sanggup memiliki hati yang mati."
Petikan ini juga penting untuk dikongsi bersama. " ...Semua fitrah ada peraturan. Kenapa? Supaya fitrahmu itu akan tersalur secara muliadan diredhai Allah. Bagaimana menghadapi ujian ini? Agar fitrah tidak menjadi fitnah. Agar fitrah mendapat barakah. Bagaimanakah caranya?....,jadikan ujian cinta ini sebagai lubuk pahala apabila kau perisaikan dengan mujahadah(melawan nafsu habis-habisan). Apabila 'angau' bertandang, cepat-cepatlah beristighfar. Kita beristighfar bukan kerana rindu itu satu dosa sebaliknya kerana bimbang zina hati akan menjalar. Sibukkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang membina diri."
" Setelah Islam memberikan panduan, wajarkah menyalurkan fitrah cinta dengan jalan-jalan menghampiri zina? Call siang malam tanpa urusan. Chatting kosong tanpa isi. Dating bertemankan syaitan. Pandang-pandang tanpa pagaran. Khalwat di tempat-tempat sunyi. Berbual-bual, bincang-bincang, tanya-tanya khabar tanpa sempadan. Menhalalkan ikhtilat(pergaulan bebas)...."
Akhir sekali, beliau menegaskan. " Adakah kau ingin membina sebuah mahligai perkahwinan dengan sebuah kenangan cinta yang mengampiri zina? Berkatkah nanti syurga dunia idamanmu? Mampukah ia membawa kepada syurga yang abadi?"
Persoalan yang beliau timbulkan di akhir artikel beliau adalah untuk mengajak kita untuk bermuhasabah, samada adakah kita telah membuktikan cinta kita pada Pemilik Segala Cinta atau kita telah hanyut dalam indahnya cinta manusiawi yang bersadur nafsu semata? Semoga sedikit petikan daripada artikel beliau, membantu kita untuk berfikir dan mengawal kehendak fitrah manusia yang ada dalam diri kita selain daripada membantu bagaimana untuk kita menyalurkan cinta pada jalan yang diredhai. WallahuA'lam.
Akhir sekali, mungkin sahaja akan ada yang menolak nota ini, dan mungkin ada juga yang rasa tersindir. Niat pemilik nota bukan untuk memberi hinaan atau merendahkan mana-mana pihak, kerana pemilik nota juga adalah manusia. Pemilik nota juga melalui pengalaman-pengalaman bercinta. Maka disebabkan oleh itulah pemilik nota memikirkan tentang perkara ini untuk direnungkan bersama. Diharap tidak ada pihak yang akan terasa hati sebaliknya mula berfikir tentang kebaikan untuk diri masing-masing, InsyaAllah.Ilmu dan apa sahaja dapatan maklumat tentang cinta, mudah-mudahan ia memberi manfaat. Terima kasih. Wallahu A'lam...